
Tahun lalu menyaksikan beberapa kes penceraian melibatkan pasangan selebriti tempatan. Kes tersebut juga membuatkan ada kelab peminat saling bertelagah untuk mempertahankan artis kesayangan mereka. Nampaknya bukan sahaja sistem kekeluargaan boleh berpecah, malah keadaan kelab peminat juga boleh terkesan dengan penceraian. Mana tidaknya, kesan hubungan parasosial antara selebriti dan peminat semakin kuat akibat pendedahan di media sosial.
Disebalik kes-kes penceraian itu, jangan kita lupa ada juga pasangan selebriti yang semakin kukuh dan utuh rumah tangganya. Senarai pasangan ini Miss Murai pilih kerana sudah hampir atau lebih 10 tahun hidup aman damai bersama keluarga tercinta. Walaupun mereka sama-sama dalam bidang hiburan, mereka membuktikan mereka bijak mengasingkan antara urusan kerjaya dan peribadi.
- Datin Lisa Surihani dan Datuk Yusry Abdul Halim
Kisah percintaan Datin Lisa dan Datuk Yusry bermula dengan BBM rupanya! Setelah sekian lama berkawan dan membalas mesej melalui BBM, akhirnya mereka memutuskan untuk mendirikan rumah tangga pada 23 Februari 2012. Setelah hampir 13 tahun bersama, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Yahaira Leanne, Yusof Leonne dan Yunos Laith.

- Scha Al-Yahya dan Awal Ashaari
Masih ingat lamaran romantik Awal pada Scha pada tahun 2012? Kejutan begitu amat jarang berlaku dalam industri hiburan tempatan dan akhirnya kecoh satu Malaysia! Dua bulan selepas itu pada tarikh 4 Mei 2012, pasangan ini disatukan. Scha dan Awal antara selebriti tempatan yang sentiasa mewakili nama negara untuk menghadiri majlis fesyen antarabangsa. Pasangan ini dikurniakan dua orang puteri comel iaitu Lara Alana dan Lyla Amina.

- Norman Hakim dan Memey Suhaiza
Walaupun pasangan ini pernah terpalit dengan kontroversi panas, namun itu semua mampu dibidas dengan anugerah kebahagiaan yang diberikan oleh Allah SWT. Norman Hakim dan Memey Suhaiza disatukan pada tarikh 24 September 2011 dan majlis resepsi mereka dikatakan bernilai RM12 juta serta ditaja oleh jenama barangan kemas Rafflesia. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Darwisz Hakim, Muhammad Dikhriz Hakim dan Mikayla Delisha Hakim.

- Zamarul Hisham dan Diana Rafar
Pasangan ini berkahwin pada 16 Mei 2009 selepas lapan tahun bercinta. Walaubagaimanapun, lumrah rumah tangga ada fasa jatuh dan bangun. Mereka pernah bercerai selama 4 bulan dan kembali rujuk pada 14 Februari 2015. Mengambil dari pengajaran yang lepas, Zamarul dan Diana kini semakin erat dengan kehadiran tiga orang cahaya mata iaitu Kashfi Haikal, Kayla Reysha dan Kaydeen Haiqal. Zamarul juga mempunyai dua anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu.

- Rozita Che Wan dan Zain Saidin
Jarak umur 11 tahun bukan penghalang buat Rozita Che Wan dan Zain Saidin. Pasangan pelakon dan usahawan terkemuka ini disatukan pada tarikh 13 Disember 2013. Mereka merupakan pasangan yang sering dijadikan contoh netizen kerana terlihat saling hormat dan menyokong kerjaya satu sama lain. Rumah tangga mereka diserikan dengan kehadiran puteri tunggal, Aaisyah Dhia Rana. Rozita Che Wan juga mempunyai dua anak lelaki dari perkahwinan lama iaitu, Ammar Effendy dan Aniq Ezzra.

Siapa lagi yang mungkin Miss Murai lupa untuk kongsikan?
The post [INSPIRASI] Usia Perkahwinan Lebih 10 Tahun, Ini Pasangan Selebriti Malaysia Yang Layak Dicontohi Netizen appeared first on Miss Murai.