
Pemain bola keranjang kebangsaan Malaysia, Mohd Shadzwan Kamalrulzaman kini menjadi bintang Youtube selepas videonya menyelamatkan seseorang tersebar meluas menerusi laman Youtube.
Atlet berumur 27 tahun itu bersama pasukannya berada di Lapangan Terbang Hong Kong ketika insiden tersebut berlaku.
Menurut Shadzwan, kejadian tersebut berlaku sekitar 5pm semalam di mana, “Seorang wanita tiba-tiba menjerit meminta tolong. Saya melihat keliling dan terlihat seorang lelaki sudah jatuh rebah tidak sedarkan diri. Bibirnya biru dan mulutnya berbuih”, katanya kepada Harian Metro.
“Saya periksa nadinya tetapi ia tidak lagi berdenyut. Dia juga tidak lagi bernafas jadi saya cuba untuk lakukan CPR terhadap mangsa sehingga akhirnya dia menunjukkan respon.”
Sebaik sahaja lelaki itu bisa menggerakkan bibirnya, Shadzwan menyerahkan paramedik untuk terus membantu.
Bagaimanapun tanpa sedar, aksi Shadzwan menyelamatkan orang itu telah dirakam oleh Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), Lua Choon Hann.
Lua kemudiannya berkongsi video tersebut di Facebook.
Sehingga kini, rakaman berdurasi 50 saat itu telah menjadi viral, dikongsi dan ditonton lebih beribu kali.
“Saya tidak merasa tindakan saya itu adalah sesuatu yang istimewa tetapi saya pasti orang lain turut akan melakukan perkara yang sama ketika berada dalam situasi begitu. Apa pun saya berbangga kerana dapat menyelamatkan nyawa orang lain,” tambahnya lagi.
Pasukan bola keranjang kebangsaan negara berangkat ke Hong Kong bagi menyertai perlawanan Super Kung Sheong International Basketball Invitational Championship ke-21 yang akan berakhir pada 18 Disember ini.