
Sebelum ini, Nike mengeluarkan koleksi untuk plus-size, kini, jenama sukan terkenal bakal mengeluarkan hijab khas buat atlet wanita muslim.
Hijab yang diberi nama ‘Nike Pro Hijab’ mengetengahkan rekaan sarungan selapis yang diperbuat daripada fabrik poliester ringan dan didatangkan dalam rona gelap dan neutral.

Lubang-lubang kecil pada fabrik tersebut akan menjadikannya berangin namun masih kekal legap, yang merupakan satu ciri penting bagi wanita yang memakai hijab.
Menurut Nike, mereka mula menghasilkan hijab itu selepas beberapa orang atlet wanita Muslim mengadu kerana terpaksa memakai hijab tradisional semasa pertandingan.

Proses rekaan mengambil masa 13 bulan dan produk akhir itu akan mula dijual dalam koleksi musim bunga 2018 syarikat tersebut. Kata Nike lagi, hijab berkenaan sebenarnya sudah pun dipakai oleh atlet luncur ais Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Zahra Lari.
“Saya amat teruja dan sedikit terharu apabila melihat Nike mewujudkan prototaip hijab tersebut. Saya telah mencuba pelbagai jenis hijab semasa pertandingan dan hanya beberapa yang benar-benar dapat membantu persembahan saya.
“Tetapi apabila saya memakai hijab ini dan mencubanya di gelanggang meluncur, saya teruja dengan muatannya dan fabriknya yang begitu ringan,” jelasnya.


The post Nike Perkenal Hijab Untuk Atlet Muslimah (6 Gambar) appeared first on Wanista.com.