Anda pernah dengar tentang “Slipped Disc”? Bukan “sleep” yang tidur tau, ini berkaitan dengan tulang belakang.
Keadaan di mana anda merasa sakit belakang yang melampau sehingga mengakibatkan pergerakan terbatas, otot kaki kejang dan anggota badan menjadi kebas. Sakit berlaku apabila tulang belakang tergelongsor keluar sehingga menekan urat saraf pada saraf tunjang.
Setiap manusia mempunyai struktur berupa jeli pada bahagian tulang belakang yang dipanggil disc, yang mana ia bertindak sebagai pelindung di antara tulang-tulang belakang. Kestabilan disc ini bergantung kepada ligamen yang tebal di sekeliling tulang belakang.

Tahukah sekarang bukan orang tua sahaja yang selalu terkena, malah makin ramai anak muda menghidap slipped disc. Hal ini berpunca daripada:
- Jatuh
- Obesiti, berat badan berlebihan beri tekanan pada disc
- Kerja/aktiviti berulang melibatkan tulang belakang seperti angkat barang atau membongkok
- Gaya hidup pemalas seperti tidak melakukan senaman langsung
- Selalu memandu terutama perjalanan jarak jauh – di mana duduk terlalu lama semasa memandu dan kesan geseran
- Postur tidak betul
Bagaimana ianya terjadi? Disc pada tulang belakang akan mengalami proses penuaan seiring dengan pertambahan usia, di mana semakin lama akan mengalami kerosakan, bengkak dan koyak. Disc menjadi kurang fleksibel kerana kekurangan air dan menjadi kecut sekaligus jarak di antara tulang belakang semakin rapat.

Selain banyak bergerak dengan bersenam, anda boleh cuba mencegah dengan pastikan postur yang betul dalam semua posisi semasa duduk, berdiri, baring atau semasa melakukan aktiviti seharian dengan mengambil kira perkara-perkara berikut.
Semasa Baring
- Pilih tilam yang tegap (firm). Ini dapat menyokong tulang belakang dengan baik
- Posisi yang dicadangkan, mengiring dan melengkung tubuh ke hadapan dengan bantal diantara dua lutut
Semasa Berjalan
- Memakai kasut bertumit rendah yang selesa
Semasa Duduk
- Menggunakan kerusi bersandar (back rest) yang boleh menyokong tulang belakang dengan baik
- Gunakan bantal kecil untuk menyokong bahagian belakang
Semasa Berdiri
- Jika berdiri terlalu lama, rehatkan satu kaki secara bergilir-gilir di atas bangku kecil yang rendah
- Gunakan teknik mengangkat / mengalih yang betul
- Lakukan senaman secara tetap
- Menjaga berat badan
- Amalkan kecergasan keseluruhan
Jadi sekarang sebaiknya mula bersenam dan janganlah malas.
Selamat Beramal!
The post Jika Kamu Terkena Slipped Disc, Cuba Cegah Dengan Cara Ini appeared first on Wanista.com.