
Bila sakit secara tiba-tiba di tengah malam, memang terseksa sangat! Nak jumpa doktor pun tak ada klinik yang buka dan hospital pula terpaksa menunggu lama.
Dikongsi oleh Pegawai Perubatan Kecemasan, Dr. Asmi Syabil mendedahkan setiap rumah perlu beberapa ubat-ubatan dalam First Aid Kit. Akuinya ubat-ubatan ini digunakan ketika waktu kecemasan tak kiralah berada di rumah atau pun di luar rumah.
#1 Ubat Batuk
Kamu boleh dapatkan ubat batuk di farmasi atau kedai serbaneka. Cara penggunaannya kamu perlu rujuk di packaging atau botolnya. Ingat, ambil dalam dos yang disyorkan sahaja okay?
#2 Termometer
Penting untuk setiap rumah ada termometer kerana kamu boleh check berapa suhu badan jika tengah sakit. Suhu badan normal adalah 36.5°C-37.2°C (suhu di mulut) manakala jika melebihi suhu ini kamu sebenarnya demam.
#3 Buscopan 10mg
Buscopan ini sangat diperlukan ketika perut menjadi memulas, kekejangan dan sakit batu karang.
(Dos disyorkan: 1biji, 3 kali sehari atau 1 biji, 1 kali bila perlu)
#4 Loratadine 10mg
Rasa alahan, gata-gatal, mata berair atau resdung? Ubat ini sangat sesuai untuk legakan dan hilangkan gejala tersebut.
(Dos disyorkan: 1 biji, 1 kali sehari)
#5 Paracetamol 500mg
Ramai yang tahu paracetamol ini diambil ketika demam dan sakit kepala. Pada masa yang sama, paracetamol juga boleh digunakan sebagai ubat tahan sakit ringan.
(Dos disyorkan: 2 biji, 3 kali sehari. Jangan melebihi 8 biji sehari.)
#6 Ammeltz Yoko Yoko
Jika kerap alami kekejangan atau ketegangan otot, Ammeltz Yoko Yoko sangat berguna! Kandungan utamanya adalah methyl salicylate yang berupaya mengurangkan sakit otot atau lenguh di badan.
#7 Ranitidine (Zantac) 150mg
Ubat ini digunakan untuk mengurangkan rasa sakit perut terutamanya ulser perut, gastritis dan GERD. Fungsi ubat ini adalah untuk mengurangkan rembesan asid dalam perut.
(Dos disyorkan: 1 biji, 2 kali sehari)
#8 Chloramphenicol Eye Drop
Sesuai untuk jangkitan mata seperti conjunctivitis iaitu bangun dari tidur, mata dipenuhi dengan tahi mata, pedih dan berair. Caranya adalah kamu hanya perlu titikkan dalam mata sahaja.
#9 Activated Charcoal 250mg
Mempunyai fungsi yang sama seperti ubat Lomotil, activated charcoal ini digunakan untuk mengurangkan cirit-birit.
(Dos disyorkan: 1 biji, 3 kali sehari)
#10 Oral Rehydration Salt (ORS)
Bagi individu yang sering alami cirit-birit, ubat ORS ini berfungsi untuk menggantikan semula garam galian yang hilang daripada badan supaya fungsi badan tidak terjejas.
(Dos disyorkan: 1 paket bila perlu.)
#11 Chlorpeniramine (Piriton) 4mg
Sama seperti Loratadine, Piriton digunakan ketika mengalami gejala selesema dan alahan. Ubat ini boleh menyebabkan rasa mengantuk jadi elak ambilnya ketika bekerja atau memandu.
(Dos disyorkan: 1 biji, 3 kali sehari)
#12 Mist Magnesium Trisilicate (MMT)
Mempunyai fungsi yang sama seperti Gaviscon, ubat ini bertujuan untuk mengurangkan pedih ulu hati disebabkan oleh ketidakhadaman.
Cara penggunaannya adalah ambil sebelum makan. Dan pastikan kamu tidak makan atau minum selama 15 minit selepas ambil ubat ini.
(Dos disyorkan: 15ml, 3 kali sehari)
#13 Diclofenac Sodium (Voltaren) 50mg
Ubat Voltaren ini digunakan ketika keradangan atau kesakitan tidak surut selepas menggunakan paracetamol. Malah serangan gout juga menggunakan ubat ini.
Penting untuk kamu tahu, jangan ambil ubat ini ketika perut kosong atau gastrik.
(Dos disyorkan: 1 biji, 3 kali sehari jika berterusan atau 1 biji, 1 kali sehari bila perlu)
#14 Metoclopramide HCI (Maxolon) 10mg
Sekiranya ada gejala seperti loya, muntah dan migrain, doktor akan preskripsikan ubat Maxolon pada kamu. Ubat ini juga sesuai untuk ibu mengandung yang mengalami rasa loya dan muntah di awal kehamilan.
(Dos disyorkan: 1 biji, 3 kali sehari atau 1 biji, 1 kali sehari bila perlu)
#15 Diphenoxylare + Atropine Sulphate (Lomotil)
Bila keracunan makanan mesti cirit birit selepas itu. Nak hilangkan atau kurangkan gejala cirit-cirit, ubat Lomotil ini boleh membantu kamu.
(Dos disyorkan: 1 biji, 3 kali sehari atau 1 biji, 1 kali sehari bila perlu)
Biarlah kalau orang kata rumah kamu seperti farmasi, asalkan semua ubat ada ketika kecemasan. Selamat beramal!
The post Penting, Doktor Kata Setiap Rumah Perlu Ada 15 Ubat Ini appeared first on Wanista.com.