
Sebenarnya bukan ketagihan media sosial sahaja, ia boleh berlaku bila kamu terlalu ketagih dengan perkara dalam televisyen seperti menonton drama atau filem tidak henti dan bermain permainan video. Sampaikan perkara yang sepatutnya dilakukan sebagai aktiviti waktu lapang, sudah bertukar menjadi satu kewajipan selepas bangun tidur atau sebelum tidur. Ketagihan skrin begini boleh mencetuskan pelbagai masalah kesihatan mental seperti kegelisahan dan kemurungan.
Mungkin jauh dari sudut hati, ada kesedaran untuk berubah dari dibelenggu dalam kehidupan ilusi skrin. Jadi langkah digital detox antara yang patut menjadi langkah pertama untuk kamu. Digital detox ialah suatu kaedah untuk kamu menahan diri dari menggunakan mana-mana gajet atau peranti digital. Ia bagi mengembalikan keseimbangan yang lebih sihat antara dunia realiti dan dalam talian. Hasilnya, kamu berupaya menumpukan lebih perhatian kepada interaksi bersemuka, hobi, aktiviti kecergasan atau menghabiskan masa dengan menghargai keadaan sekeliling.

Cara nak lakukan digital detox dengan berkesan?
- 1. Muat turun aplikasi sekatan
Secara peribadi, Miss Murai gunakan aplikasi sekatan atau screen time app. Ia amat membantu untuk kamu mengurangkan masa menggunakan telefon pintar atau aplikasi media sosial. Seiring dengan itu, kamu dapat menggunakan masa dengan lebih produktif terhadap perkara-perkara luar skrin. Malah, had interaksi dalam media sosial atau isu sia-sia dapat dikurangkan. Lama-kelamaan kamu sendiri akan terlupa untuk melihat telefon pintar.

- 2. Tutup notifikasi tidak penting
Sekadar notifikasi emel pemasaran atau berita hiburan buat apalah untuk dijadikan ‘perkara penting’. Malah notifikasi dari grup WhatsApp juga boleh disenyapkan. Ini supaya ia tidak menjadi umpan untuk kamu kembali memegang telefon pintar atau tablet. Bahkan dengan cara ini juga dapat mengurangi kegelisahan mendengar bunyi ‘ting’. Percaya atau tidak ada sesetengah ketagih untuk mendengar bunyi notifikasi.

- 3. Sediakan zon tanpa gajet
Mahu tidur yang cukup, mata yang sihat dan makan yang aman? Sediakan ruang zon bebas gajet samada di bilik tidur atau ruang makan. Keadaan ini mampu mengubah kualiti tidur dan makan kamu.Malah, nilai perhubungan diantara pasangan dan keluarga lebih akrab kerana meningkatkan komunikasi dan keakraban. Buat apa mencari persahabatan dalam alam maya, kalau yang ada dihadapan mata tidak mahu dijaga.

Miss Murai berharap dengan perkongsian ini dapat membantu pembaca kami untuk mencapai tahap keseimbangan kesihatan mental dan fizikal. Akhiri bacaan artikel ini untuk mulakan perjalanan digital detox kamu. Jangan terlalu tertekan, lakukan secara berkala dan percayalah ‘biar sikit, lama-lama jadi bukit’. Digital detox juga mampu untuk menjauhkan kamu dari penyakit FOMO, overconsumption dan perkongsian berlebihan di media sosial.
Selamat beramal!
The post Ketagih Main Media Sosial? Ini Cara Untuk Lakukan Digital Detox appeared first on Miss Murai.